Radio Leeeeee

Selasa, 26 Februari 2008

KISAH NABI YAAQUB AS

Tersebut dalam kitab 'Zahrir Riyadh' bahawa nabi Yaaqub as bersahabat baik dengan Malaikat Maut. Maka pada suatu ketika Malaikat maut datang kepada Yaaqub. Yaaqub berkata," Wahai Malaikat maut engkau datang untuk menziarah atau untuk mencabut nyawaku?" Malaikat maut menjawab," Untuk berziarah sahaja" Lalu Yaaqub berkata," Aku mempunyai permintaan kepadamu." Malaikat maut bertanya, "Apakah permntaanmu?" Yaaqub menjawab, "Bila ajalku telah dekat dan engkau hendak mencabut nyawaku hendaklah kau beritahu aku terlebih dulu." Malaikat Maut menjawab, "Baiklah, aku akan mengutus kepadamu dua atau tiga utusan." Maka ketika ajal Yaaqub telah sampai, Malakul Maut datang lagi kepadanya, lalu ditegur Yaaqub," Apakah engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?" Malaikat maut menjawab," Aku datang adalah untuk mencabut nyawamu." Yaaqub bertanya dengan hairan," Bukankah engkau telah berjanji kepadaku hendak mengutus dua atau tiga utusan terlebih dahulu?" Malaikat Maut menjawab," Benar dan aku telah melakukannya. Putihnya rambutmu setelah hitam, lemahnya badanmu setelah kuat dan membongkoknya tubuhmu setelah tegap, itulah utusanku wahai Yaaqub kepada manusia sebelum ianya mati."